Saturday, November 21, 2009

Pesanan Buat Pemimpin Dan Insan Bergelar Manusia

Apabila kita berada di masjid, kita seakan sehati sejiwa. Kita berdiri dalam satu saf yang sama, berjamaah pula, kita berdiri di belakang imam yang sama, lambang ketaatan kepada seorang pemimpin serta lupa seketika akan perbezaan kedudukan, pangkat dan darjat. Dan yang lebih penting lagi adalah kita sama-sama menyembah Tuhan yang sama – Allah Yang Maha Esa. Alangkah indahnya perilaku kita itu, nampak teguh dan bersatu padu. Tidak timbul lansung ‘engkau siapa’, ‘apa kedudukan kau’, ‘pangkat aku lebih tinggi dari kau’, atau ‘kau kena hormat dengan aku’. Alangkah kerdilnya kita ketika itu di hadapan Dia Yang Maha Perkasa.

Namun sebaik sahaja kita keluar dari rumah-Nya itu, kita seakan terlupa akan segala perkara baik yang kita lakukan sebentar tadi. Mulut kita mula mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Mengumpat, mencaci, memfitnah, mengadu domba, menjatuhkan kedudukan orang lain, suka menyalahkan, mengorek segala keburukan orang lain sehingga terlupa akan keburukan diri sendiri. Tangan pula memainkan peranan menunjukkan isyarat yang tidak sepatutnya, menulis perkara berbau fitnah, celaan dan sebagainya, mencuri dan berbagai lagi. Begitu juga dengan pancaindera yang lain.

Seringkali para tuan guru mengingatkan bahawa jika kita berbuat salah dengan Allah maka kita boleh meminta ampun bila-bila masa sahaja. Namun apabila melakukan kesalahan dengan manusia, kita perlu memohon kemaafan daripada daripada orang yang kita lakukan kesalahan itu. Sehinggakan Nabi pernah berpesan tentang orang yang muflis di akhirat nanti, pahala yang dimiliki seseorang itu terpaksa diberikan kepada orang lain akibat kesalahannya kepada orang itu. Alangkah ruginya kita saudara dan saudari. Berpenat lelah kita mencari bekalan akhirat namun terpaksa diberikan kepada orang lain akibat perbuatan kita sendiri. Bahkan saya sendiri amat takut dengan perkara ini kerana dalam kehidupan seharian kita terkadang melakukan kesilapan tanpa kita sedari. Ya Allah jauhkanlah kami dari menjadi golongan yang muflis di akhirat nanti.

Satu maksud firman Allah yang selalu melekat di fikiran saya ialah ‘Sesungguhnya orang mu’min itu bersaudara, maka damaikanlah kedua saudara kamu yang bertelingkah’. Ini merupakan satu penegasan daripada Allah bahawa kita semua orang Islam ini bersaudara. Sayangnya inilah yang sering kita lupakan. Bila sahabat kita susah, sudahlah kita tidak membantunya malahan kita tambah menyusahkannya lagi. Kita cuba bongkar kesalahannya sedangkan Nabi suruh tutup keaiban seseorang itu, kerana apabila kita tutup keaiban seseorang, Allah akan tutup keaiban kita di akhirat kelak. Begitu juga Allah menyuruh kita mendamaikan segala kekeruhan antara umat Islam. Tapi ada yang lebih suka menjadi batu api menghangatkan lagi keadaan. Kerana itulah perkara yang asalnya kecil menjadi besar akibat ketidakbijaksanaan sendiri.

Apabila seseorang melakukan kesalahan, maka tanggungjawab kita untuk menasihati dan membetulkan kesalahan. Mana yang bengkok kita luruskan dan bukannya menambahkan lagi kecelaruan itu. Kebiasaannya orang yang melakukan kesalahan itu akan dihukum. Lebih buruk lagi apabila hukuman dijatuhkan tanpa dipanggil individu tersebut untuk membela diri atau menerangkan hal yang sebenarnya berlaku. Untuk menjatuhkan hukuman pula perlu dilihat dari segenap pandangan dan perkara agar hukuman yang dijatuhkan itu tidak mendatangkan kesusahan kepada orang lain seperti kaum keluarga yang bersalah. Jika tidak kita secara tidak lansung melakukan kesalahan pula kepada keluarga individu terbabit. Konsep keadilan perlu ada agar tidak berlaku zalim. Sebab itu orang yang mencuri makanan kerana kebuluran tidak boleh dipotong tangannya kerana dia berada dalam keadaan terdesak untk meneruskan kelansungan hidup. Orang disekelingnya pula yang bersalah kerana tidak mengendahkan nasib satu nyawa.

Alangkah susahnya menjadi manusia. Sebab itu Saidina Umar lebih suka jikalau beliau ini dijadikan sehelai daun kering sahaja. Ini kerana daun ini tidak akan dihisab di akhirat kelak. Sesungguhnya ini satu pesanan buat kita semua, terutama buat diri saya yang menulis ini. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat atau organisasi kita merupakan ketua atau pemimpinnya. Maksud sabda Nabi s.a.w.; ‘Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin adalah bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya’.

Ya Allah amat berat tanggungjawab di atas bahu ini. Aku juga ingin menjadi daun seperti Umar…….



jika takut diri d benci,,,sucikan hati perbaiki peribadi....

No comments:

Post a Comment